Khamis, 25 Februari 2010

BERITA - ANAK-ANAK LORONG

BORAK LOKASI: Nasib pelacur dalam Anak-Anak Lorong

Oleh Esme Johari Wahab
esme@hmetro.com.my
2010/02/25

BAU busuk dan meloyakan menusuk hidung sebaik saja menjejak kaki di hotel bajet di Lorong Haji Taib 4, Kuala Lumpur. Suka atau tidak, ia perlu juga dihidu kerana itulah lokasi penggambaran Anak-Anak Lorong.

Bau busuk itu semakin kuat sewaktu menaiki tangga untuk ke tingkat dua. Tiba tiba terdengar beberapa jeritan serta pekikan kuat seorang perempuan.

Dia adalah Sofea (lakonan Lisdawati), sedang bertengkar dengan Cikgu Mariah (Sheera Iskandar) yang datang bersama seorang rakan untuk membantunya serta menyampaikan risalah mengenai HIV.

Sofea trauma kerana baru saja mendapat tahu dia menghidap HIV positif selepas menjalani pemeriksaan doktor. Sofia menghamburkan kata-kata marah dengan nasihat yang diberikan Mariah dan mula terkenangkan dua anak diabaikan iaitu Amira, 8, (Erin Azali) dan Azim, 5, (Haikal Azali). Sungguh tragik apabila Azim juga menghidap HIV seperti ibunya.

Kedatangan cikgu itu membuatkan Sofea tertekan apatah lagi selepas menyedari dia ditipu oleh Daud (Fauzi Nawawi) yang mungkir janji untuk mengahwininya.
Daud sebaliknya menjadikan Sofea tempat mengaut duit. Dia turut menjual dua anaknya kepada satu sindiket kanak-kanak diketuai Zack Taipan.

Itu adalah antara jalinan cerita telemovie Anak-Anak Lorong membabitkan pelakon berkenaan dan kru produksi di hotel itu. Penggambarannya berlangsung selama tiga hari.

Pengarah, MP Roslin Md Sharif, 43, berkata, telemovie itu memaparkan kasih sayang dan kisah kehidupan anak pelacur yang tidak dipedulikan ibu sendiri.
"Menerusi tayangan selama 90 minit, 60 peratus berkisar mengenai emosi. Jangan salah anggap ia ada persamaan dengan karya Erma Fatima menerusi Tersasar Di Jalanmu.

"Garapan Anak-Anak Lorong bukan mengenai pelacur, tetapi berkisar kehidupan harian yang sukar dan tidak menentu dilalui anak pelacur.


"Filem itu cuba memaparkan kehidupan sebenar anak Lorong Haji Taib. Saya cuba ubah anggapan masyarakat bukan semua anak dilahir dan membesar di situ teruk. Malah, ada antara mereka yang bijak.

"Tidak semestinya kalau ibu jadi pelacur, anak pun ikut sama. Dalam cerita itu, watak Mariah dan Sofea berasal daripada anak lorong, tetapi melalui nasib berbeza daripada segi perjalanan hidup.

"Dalam telemovie itu, terdapat babak Amira dan Azim datang ke sekolah dan diajar Mariah. Anak-anak lorong juga berpotensi sama seperti kanak kanak normal lain kalau diasuh dengan betul," katanya.

Pengarah kelahiran Segambut Dalam yang mula mengarah sejak 1989 ini berkata, penggambaran keseluruhan memakan masa sembilan hari.

"Kami membuat penggambaran selama 15 hingga 16 jam sehari. Terdapat banyak gangguan terutama bunyi bising pengunjung keluar masuk hotel bajet. Lagipun, kami terpaksa mendapat bantuan polis untuk mengawal keselamatan kru sepanjang penggambaran dibuat.

"Antara lain, kami terpaksa membuat semula rakaman berikutan rumah pondok digunakan hilang ketika ditinggalkan di luar hotel itu ketika berehat. Saya sendiri disoal polis sewaktu mencari lokasi sesuai bagi mendapatkan situasi sebenar kanak kanak bermain di bawah lampu samar-samar pada waktu malam. Apapun, saya berpuas hati dengan dengan kualiti penggambaran ini," katanya.

TAJUK: Anak-Anak Lorong
TERBITAN: Desa Kreatif Sdn Bhd
GENRE: Drama Berat
PENERBIT EKSEKUTIF: Rezah / Shafirul Nizam
PENGARAH: MP Roslin Md Sharif (FDAM)
PENULIS SKRIP: Mohd Rohizan Ramli (Jai)
PENOLONG PENGARAH: Hazreen Hakim
PENGURUS PRODUKSI: Haji Hishammudin
PROP MASTER: Ahmad Rizuwan Abdullah
PROPMAN: Muhd Noor Ridduan Abdullah
JURUSOLEK: Wawa
RUNNER: Hairulsyukree Zawawee
HANDY: Mohd Jamalizan Kino/Mohd Mohadi Shaari/Norainon Abdul Rani
CO-ODINATOR: Shahroll Nizam Alias
JURUKAMERA: Helmizan Abdul Hamid (Apun)
PENATA CAHAYA: Faisal Din/Abdul Talib Mohd Amin
PENATA BUNYI: Mohd Roslan Ripin
BOOM MAN: Muhd Azeze Mohmad Kamarudin
PELAKON: Adik Haikal Azali, Adik Erin Azali, Lisdawati, Fauzi Nawawi, Ery Putra, Wan Maimunah, Sheera Iskandar, Roslan Saleh dan Zack Taipan
SIARAN: Astro Prima (105)
TEMPOH: 90 MINIT (Slot 2 jam)
KATEGORI : Telemovie
JANGKA TAYANGAN: Mac 2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blog Widget by LinkWithin