Ahad, 10 Januari 2010

BERITA - TIRAI SEMALAM

Rosyam singkap peranan AADK


BAKIR Zain (duduk, tengah) dan Rosyam Nor (berdiri, enam dari kiri) bersama barisan pelakon Tirai Semalam di lokasi pengambaran siri tersebut Puspen Dengkil, baru-baru ini.


SEHINGGA kini Malaysia antara negara yang tidak pernah putus asa membanteras gejala penagihan dadah. Usaha berterusan ini akan terus dilakukan berdasarkan catatan statistik tahunan melibatkan jumlah kemasukan ke pusat pemulihan yang tidak pernah langsung memperlihatkan tanda-tanda penyusutan.

Bukan sahaja melibatkan golongan dewasa malah, lebih malang lagi turut melibatkan golongan remaja yang masih di bawah umur.

Senario ini tentu sahaja membimbangkan. Biarpun pelbagai usaha membanteras najis dadah cuba diketengahkan namun, hasilnya masih belum menampakkan jalan penyudah.

Menyedari hakikat itu, Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd., dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bekerjasama menerbitkan siri dokudrama, Tirai Semalam yang dijangka mampu menyuntik kesedaran di kalangan belia dan masyarakat.

Mengambil daripada kisah-kisah benar yang terjadi kepada penghuni Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen), lebih 1,000 fail diterima oleh pihak penerbitan, bagaimanapun hanya 26 fail sahaja dipilih atas persetujuan AADK.

Rantaian 26 episod arahan Haris Abdul Kadir yang berdurasi selama 30 minit setiap episod itu dijangka menemui penonton di kaca televisyen April ini.

Antara barisan pelakon yang terlibat dalam Tirai Semalam termasuklah Nasrizal Ngasri (Bell), Mahmud Ali Basha, Aleza Shadan, Norul Iman, Al-Haiqal, Khaty Azean, Azza AF1, Zack Kool, Khairul Anwar, Azman Nor, Yaya Ismail, Mak Jah dan Yus Waisar.

Penerbitnya, Rosyam Nor ketika ditemui di Puspen Dengkil baru-baru ini memberitahu, sehingga kini pihaknya masih lagi berbincang dengan beberapa stesen televisyen berhubung penyiaran rancangan tersebut.

“Daripada kisah yang dipaparkan, 80 peratus daripada jalan cerita yang dipaparkan dalam Tirai Semalam menyamai kisah sebenar yang berlaku.

“Ada beberapa penambahan dan juga pengurangan watak daripada kisah fail yang kita ambil bagi mencantikkan lagi jalan cerita tersebut,” katanya.

Melibatkan pelakon baru dan lama, menurut Rosyam, strategi yang cuba dilakukan ialah tidak meletakkan barisan pelakon yang terlalu popular kerana ingin penonton merasakan paparan yang cuba disampaikan seperti realiti.

“Karyawan tempatan dan pihak kerajaan menerusi AADK sama-sama main peranan dalam membanteras penularan dadah.

“Bukan itu sahaja, dalam siri ini juga AADKM turut menyelitkan motivasi bagi mengembalikan semangat penghuni Puspen terutamanya bekas penagih dadah sendiri untuk kembali kepada kehidupan normal mereka.

“Apa yang saya harapkan, ini bukanlah usaha terakhir penerbit-penerbit tempatan atau Suhan Movies sendiri untuk menerbitkan rancangan berbentuk dokudrama sebegini,” kata Rosyam yang mengemukakan kertas kerja penerbitan Tirai Semalam ke AADK hampir tiga tahun lalu.

Apa yang paling menyentuh hati, menceritakan sebuah kisah daripada fail tersebut, di mana seorang remaja perempuan yang berusia 16 tahun dihalau dari rumah oleh bapanya hanya kerana dia mencuri RM10.

Bagaimanapun, dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, remaja tersebut telah dirogol berkali-kali sehingga memaksanya mencari perlindungan di sarang penagih.

Bagaimanapun, remaja tersebut berjaya diselamatkan oleh AADK dan ditempatkan di Puspen kerana enggan pulang ke pangkuan keluarganya.

“Di sini, kita dapat menyelami bagaimana kisah di sebalik kejadian yang berlaku ke atas para penghuni Puspen sendiri.

“Bagaimana kesilapan yang kecil, memberi kesan dalam hidup remaja itu selama-lamanya di mana kita lihat perkara kecil menjadi punca dia terjebak dalam penagihan dadah,” kata Rosyam lagi.

Di samping pengajaran dan motivasi, pelbagai info tentang dadah juga diselitkan dalam dokudrama tersebut sebagai pengetahuan dan pengawasan ibu bapa terhadap anak-anak mereka.

Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan, Datuk Bakir Zin pada majlis yang sama memberitahu, tujuan siri tersebut diterbitkan adalah untuk AADK menyalur informasi kepada masyarakat dalam usaha mendidik dan menyatakan kesan akibat penyalahgunaan dadah.

“AADK main peranan besar dalam memastikan negara tidak terus dibelenggu oleh musuh nombor satu negara ini.

“Apa yang ingin ditonjolkan dalam Tirai Semalam ialah bahayanya penggunaan dadah tanpa kawalan. Sebelum ini telah banyak usaha yang AADK lakukan termasuk program motivasi dan pameran namun, dilihat kurang memberi kesan.

“Menggunakan medium drama dan lakonan kami rasa lebih berkesan dan secara tidak langsung diharap dapat menimbulkan kesedaran kepada masyarakat,” katanya.

Tambah Bakir, hampir 70 peratus kejadian jenayah di negara ini dikaitkan dengan penagih dadah.

Oleh yang demikian, kata Bakir, AADK memandang serius dalam menangani penularan penyebaran dan penagihan dadah.

Isnin, 4 Januari 2010

Biar Putih Tulang jangan Putih Mata

Opening Montage dan Promo Biar Putih Tulang jangan putih Mata.

video

Akan ditayangkan mulai 6 Januari 2010 di Astro Citra. Sebanyak 8 episode.



Selamat menonton.
Blog Widget by LinkWithin